Control Panel

Followers



Blog Content


Kereta konsep Proton mampu tarik pasaran global, 2010/03/03

Written by Muhammad Comments
PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Berhad perlu mengukuhkan lagi tapak globalnya bagi mencapai skala ekonomi, kata penasihatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Proton akan terus memantapkan program eksportnya dengan memperkenalkan beberapa siri kereta konsep yang direka untuk menarik perhatian pasaran dunia.

Menurutnya, kereta konsep itu hasil falsafah Proton iaitu menghasilkan kereta untuk pengguna Malaysia terlebih dulu sebelum memikir mengeksportnya.

“Kita sudah biasa menghasilkan kereta untuk Malaysia terlebih dulu dan kemudian mengeksport kereta ini. Jadi, kita sukar untuk menembusi dunia. Kali ini, kita mereka kereta ini untuk pasaran dunia dan masih boleh menggunakan kereta ini untuk Malaysia.

“Dengan jumlah kecil iaitu kurang daripada setengah juta setiap tahun untuk pasaran kereta penumpang Malaysia, kita tidak boleh mencapai skala ekonomi.

“Oleh itu, kita perlu mengembangkannya sedikit dalam usaha memperlihatkan Proton baru untuk pasaran dunia,” katanya kepada media Malaysia di Pameran Motor Antarabangsa Geneva ke-80, semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata pembuat kereta itu perlu membuka langkah strategik yang pantas bagi mengelak daripada kehilangan peluang menjadi peserta global.

“Hari ini, kita tidak akan menjadi peserta tempatan. Kita mesti bekerja dengan bijak,” katanya.

Memberi contoh, Proton Saga umpamanya yang melalui 200 perubahan sebelum ia boleh dieksport ke Barat, Syed Zainal berkata, perkara sedemikian tidak akan berulang lagi. - Bernama “Selepas suku dekad dalam industri ini, Proton seharusnya sudah boleh mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan lain menerusi pengurusan yang kukuh dan tidak terjerumus dengan nasib sama dengan General Motor,” katanya.

Proton bermula dengan pelaburan permulaan hanya RM480 juta 25 tahun lalu dan sejak itu berkembang dan memberikan pulangan RM4 bilion dan RM18 bilion lagi pendapatan kepada kerajaan.

Mengenai kereta berkonsep hibrid, Dr Mahathir berkata, ia direka sedemikian rupa supaya boleh digunakan dengan kereta kuasa lain seperti digerakkan oleh elektrik dan enjin pembakaran dalaman konvensional, dan ini akan menjadikan kereta-kereta berkonsep itu lebih menarik di pasaran Barat.

Beliau berkata, walaupun ia akan mengambil masa kira-kira tiga tahun sebelum kereta konsep itu boleh dihasilkan, beliau meminta pengeluaran itu dipercepatkan.

“Saya bagi tahu mereka kita mesti cepat sebab saya semakin tua,” katanya secara berjenaka.

Kereta itu, direka dengan kerjasama pereka dalaman kereta Itali, Italdesign Giugiaro, boleh dihasilkan dalam enam variasi, tetapi hanya tiga akan diperkenalkan pada pameran motor. - Bernama

Afni's Son: gambar salah satu kereta konsep hybrid yang bakal dikeluarkan olah Proton Berhad ada disini
( http://3luv.blogspot.com/2010/03/kereta-hatchback-hybrid-proton-yang.html )

Luv Islam..Luv Family..Luv Her | Copyright © 2009 | Altered Design By Muhammad | Managed To Blogger Under Afni's Son