Control Panel

Followers



Blog Content


Kasih Ibu Ku bawa Ke Syurga

Written by Muhammad Comments


AsSalamualaikum...

Post yang kali ini, adalah rentetan post yang sebelum nya. Di bawah ini, adalah sebuah cerita, yang aku terima dari seorang rakan ku melalui email.

Cerita bermula ketika aku masih kecil, aku dilahirkan sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang miskin. Bahkan untuk makan sahaja, seringkali menjadi kepayahan kepada kami. Memang sukar untuk orang lain mempercayai, akan cerita yang bakal aku sampaikan ni, tapi itulah yg berlaku. Ibuku adalah seorang pembohong! Sepanjang ingatanku, sekurang-kurangnya 7 kali ibu membohongiku. Perlu aku catatkan segala pembohongan ibu itu untuk menjadi renungan anda semua.

Ada kalanya selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi sekeluarga. Sebagai anak yang masih kecil, aku sering saja merungut. Aku menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi mak cepat memujukku. Ketika makan, mak sering memberikan bahagian nasinya untuk ku. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk ku, mak berkata: "Makanlah nak, mak tak lapar."
( PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA)





Ketika aku mulai besar, mak yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Mak berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang memancing, mak memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu aku memakan gulai ikan itu, mak duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang aku makan tadi. Aku sedih melihat mak sebegitu. Hati aku sayu dan tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, aku berikan ikan dalam pinggan ku kepada mak. Tetapi mak dengan cepat menolaknya. Mak berkata: "Makanlah nak, mak tak suka makan ikan." 
(PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA)


Di usia awal remaja, aku masuk sekolah menengah. Mak pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara yuran  dan pembelanjaan persekolahan aku, abang dan kakak.Suatu dinihari, lebih kurang 1.30 pagi, aku terjaga dari tidur. Aku melihat mak sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita didepannya. Beberapa kali aku lihat kepala mak terhangguk kerana terlalu mengantuk. Aku lantas berkata: "Mak, tidurlah, esok pagi mak kena pergi kebun pula." Mak tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, mak belum mengantuk lagi." 
(PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA)


Di hujung musim persekolahan, mak meminta cuti kerja supaya dapat menemani aku pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinar, mak terus sabar menungguku di luar dewan. Mak sering kali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Allah agar aku lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika lonceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, mak dengan segera menyambut ku dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang mak yang jauh lebih kental. Melihat tubuh mak yang dibasahi peluh, aku segera memberikan cawan ku itu untuk mak dan menyuruhnya minum. Tapi mak cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, mak tak haus." 
(PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT)



Setelah kakak dan abang habis belajar dan mulai bekerja, mak sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh mak supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi mak tidak mahu. Mak rela pergi pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi kekperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan mak, namun begitu mak tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan mak mengirim balik wang itu, dan mak berkata: "Jangan susah-susah, mak ada duit." 
(PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA)



Setelah tamat pengajian di universiti, aku melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara. Pengajianku di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu aku sudahi dengan cemerlang, kemudian aku pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian ku, juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, aku berhajat membawa mak untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan ku, mak sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini mak habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan ku. Mak tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, mak tak biasa tinggal di negara orang."  
(PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM)



Beberapa tahun berlalu, mak semakin tua. Suatu malam aku menerima berita mak diserang penyakit kanser. Mak mesti dibedah secepat mungkin. Aku menjenguk ibunda tercinta. Aku melihat mak terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Mak yang kelihatan sangat tua, menatap wajah ku dengan penuh kerinduan. Mak menghadiahkan ku sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpakas menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya. Aku dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga mak menjadi terlalu lemah dan kurus. Aku menatap wajah mak sambil berlinangan air mata. Aku cium tangan mak, kemudian aku kucup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati ku terasa terlalu pedih, sakit sekali melihat mak dalam keadaan seperti ini. Tetapi mak tetap tersenyum dan berkata-kata: "Jangan menangis nak, mak tak sakit."
(PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH)


Setelah mengucapkan pembohongan yang ketujuh itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata: "MAK, SAYA SAYANGKAN MAK." Tapi tidak bagi ku. Sehingga kini aku masih diburui rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun aku membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu, menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ibu, maafkan anak mu ini. SAYA SAYANGKAN IBU..



Afni's Son: Meskipun, ada segelintir dari kita, yang terdiri dari golongan yang berharta. Cerita ini wajar juga di jadi kan sebagai pengajaran. Kerna, aku yakin, walau sebagaimana pun keadaan nya, seorang ibu, pasti telah berkorban segala-galanya yang dimiliki, hanya untuk menjamin kebahagiaan anaknya kelak. Kasih sesama manusia, sesama insan bergelar kekasih, lahir sewaktu kita sudah sempurna semuanya...Tetapi...Kasih seorang ibu kepada anaknya..Lahir, walaupun anaknya masih dalam kandungannya...Hargai lah kasih ibu. Cukup lah sekadar, memadamkan tembok keangkuhan di hati, dan meluahkan rasa sayang kepada ibunda tercinta...

Luv Islam..Luv Family..Luv Her | Copyright © 2009 | Altered Design By Muhammad | Managed To Blogger Under Afni's Son